Search This Blog

Wednesday, May 18, 2016

[MALAY EDITION]: DEMOKRASI KONSOSIASIONAL: KEMAJMUKAN MASYARAKAT MALAYSIA

Acknowledgment
 In The Name of Allah, The Most Beneficent, The Most Merciful.
“All The Praises and Thanks be to Allah SWT, The Lord of The Alameen (mankind, jinns and all that exists). The Most Beneficent, The Most Merciful. The Only Owner (and The Only Ruling Judge) of The Day of Recompense (The Day of Resurrection). You (Alone) we worship and You (Alone) we ask for help (for each and everything). Guide us to the Straight Way. The Way of those on whome You have bestowed Your Grace, not (the Way) of those who earned Your Anger nor of those who went astray.”

PENGENALAN
Demokrasi seakan satu kemestian pada sesebuah negara. Oleh hal demikianlah, Malaysia tidak terkecuali daripada mengamalkan sistem demokrasi itu sendiri namun bezanya adalah demokrasi yang diamalkan adalah acuan kita sendiri berdasarkan permuafakatan yang didasari oleh faktor sejarah penjajahan British dengan mewujudkan perkongsian kuasa dan juga kontak sosial. Jika dilihat kepada kompossi kemajmukan masyarakat di Malaysia sudah tentu demokrasi liberal tidak sesuai untuk digunapakai kerana menurut Christol dan Green di dalam penulisan “Introduction to Political Science” (1983: 44) menggariskan masyarakat tersebut tidak bersifat majmuk (culturally homogeneous). Oleh hal demikian demokrasi konsosiasional menjadi pilihan Malaysia kerana kemajmukan tersebut. Hal demikian dapat diamati daripada kerjasama politik antara kaum yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) itu sendiri. Kerjasama antara kaum memungkinkan untuk satu pemerintahan yang kuat dengan majoriti di dewan rakyat melebihi 2/3. Persoalannya, adakan kerjasama yang dilaksanakan itu merupakan kerjasama atas dasar permuafakatan atau kuasa politik semata-mata? Di samping itu, suasana politik permuafakatan dalam Barisan Nasional mula kabur. Apakah alasannya? Penulisan ini juga saya akan tumpukan kepada peranan elit kaum untuk menjelaskan bagaimana fenomena permuafakatan yang ditunjukkan oleh elit-elit setiap kaum kian menurun dan hal demikian relatif kepada amalan demokrasi konsosiasional yang diperkenalkan oleh Lijphart (1969). Selain itu, saya juga akan menerangkan hubungkait amalan konsosiasionalisme dengan kemunculan kelas menengah yang mampu mencabar kelekaan elit yang dilihat kurang menumpukan hal-hal kebajikan rakyat dan juga penaungan di dalam konteks politik tidak formal. Disamping itu, kemunculan golongan kelas menengah terpelajar juga dilihat cenderung kepada politik jenis “etnicism”, “developmentalism” dan“demokrasi berpartisipasi” (FKW Loh 2003)
Di dalam kajian kes Malaysia, saya mendapati bahawa tuntutan perkauman yang berlebihan sudah semestinya memberi tekanan kepada sifat demokrasi permuafakatan itu sendiri. Menurut pengamatan yang dilakukan oleh Mauzy (1982) mengandaikan tahap permuafakatan di Malaysia selepas tahun 1969 hanya berada di tahap yang sederhana. Lijphart yang mengasaskan teori permuafakatan ini pula mendakwa permuafakatan di Malaysia terjejas selepas berlakunya rusuhan 13 Mei 1969[1]. Sudah tentu pandangan ini diperdebatkan, namun secara umumnya, para sarjana yang mengkaji demokrasi permuafakatan di Malaysia bersependapat bahawa tragedi 13 Mei merupakan titik hitam dalam sejarah negara dan telah menjejaskan perjalanan demokrasi permuafakatan di mana Parti Perikatan menggabungkan tiga kaum utama iaitu Melayu (UMNO), Cina (MCA), India (MIC).
Bertolak dengan alasan inilah lahirnya pandangan yang mengatakan demokrasi gagal dimajukan di negara ini akibat masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan. Maka wujudlah konsep etnikisme (etnicism) yang merujuk kepada wacana dan amalan politik yang memberikan keutamaan kepada tanggapan keperibadian kaum diri yang agak eksklusif dan tidak merangkumi pihak kaum lain[2]. Hal demikian relatif kepada rakyat Malaysia tidak bersatu untuk menyuarakan kepentingan bersama. Sebaliknya isu-isu yang berbangkit dalam sesuatu kaum diperjuangkan oleh kaum itu sendiri tanpa keprihatinan etnik lain. Sebarang tuntutan ke arah amalan yang lebih demokratik di Malaysia selalu disuarakan oleh sesuatu etnik sahaja dalam etnik masing-masing. Etnik-etnik lain tidak prihatin dan tidak membincangkannya. Isu-isu yang menyentuh kepentingan komuniti Cina dibincangkan dalam akhbar Cina, orang India membangkitkannya dalam akhbar Tamil. Melayu pula tidak faham dan tidak ambil peduli. Begitulah sebaliknya. Hal ini yang menyebabkan rakyat Malaysia berada dalam keadaan terpisah-pisah dalam setiap tindakan dan lapangan, baik politik, ekonomi, sosial dan lain-lain. Malaysia tidak pernah mencapai proses reformasi kerana jumlah pendukungnya tidak mencukupi kerana sifat terpisah-pisah ini. Oleh itu, jelas dapat dilihat politik sememangnya didasari oleh perkauman dan kepentingan kuasa melebihi sikap permuafakatan dan toleransi yang dituntut di dalam teori konsosiasionalisme.

Demokrasi bagaimanakah pilihan kita Rakyta Malaysia?

KONSOSIASIONALISME: DEMOKRASI PERMUAFAKATAN
Sebelum penulisan ini dipanjangkan lagi, saya ingin menerangkan terlebih dahulu teori konsosiasional agar pembaca tidak keluar daripada tajuk perbincangan. Demokrasi  permuafakatan adalah satu konsep yang diketengahkan oleh sarjana Belanda Arend d'Angremond Lijphart di dalam bukunya yang bertajuk “Democracy in Plural Societies: A Comparative Exploration”(1977). Dalam erti kata lain, demokrasi konsosiasional ini memperlihatkan sifat kerajaan majmuk atas alasan tidak ada satu kaum yang membentuk majoriti maka beberapa kaum terpaksa berkerjasama untuk berkongsi kuasa dan membentuk kerajaan. Mengikut Lijphart lagi pembentukan demokrasi konsosiasional dapat mewujudkan kestabilan politik dan ekonomi kerana ia mengutamakan pengagihan sumber politik dan ekonomi kepada kelompok berbeza. Oleh hal demikian, perkongsian kuasa yang diamalkan dilihat memberi kepuasan kepada pelbagai kaum daripada masyarakat tersebut walaupun tidak semaksimumnya (1969: 207-225). Daripada konsep Lijphart ini dapatlah dianggap sebagai jalan keluar yang realistik kepada masalah kemajmukan dan persaingan kaum.
Menurut Lijphart (1969: 216), bagi menjayakan amalan demokrasi konsosiasional ini beliau memperkenalkan empat cirri utama yang perlu ada di dalam sesebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum. Empat ciri tersebut adalah:
  • Pertama- Golongan elit mesti mampu menyesuaikan atau menerima (accommodate) tuntutan dan kepentingan daripada kaum yang berbagai.
  • Kedua- Elit daripada kumpulan etnik harus sanggup untuk mengenepikan perbezaan mereka dan berkerjasama dengan golongan elit daripada golongan elit yang lain.
  • Ketiga- Kedua-dua perkara diatas tertakluk kepada kesungguhan golongan elit untuk berkerjasama antara satu sama lain bagi melahirkan kestabilan politik.
  • Keempat- Semua syarat ini bergantung kepada kesedaran golongan pemimpin parti terhadap bahaya sifat politik yang rencam (political fragmentation)  
Oleh kerana golongan elit merupakan entiti yang paling penting untuk menjayakan demokrasi konsosiasional ini maka, Lijphart di dalam tulisannya “The Politics of Accommodation” (1975) menyeru agar kerjasama elit itu satu kemestian iaitu semua pemimpin-pemimpin setiap kaum tidak mempunyai perasaan syak wasangka, tidak mengamalkan “arrogance of power” dan yang paling penting adalah sikap tolak ansur sesama elit yang merupakan ketua bagi masyarakat perbagai kaum.

Parlimen Malaysia tempat sebarang dasar dan undang-undang negara digubal oleh golongan eksekutif

GOLONGAN ELIT
Elit dapat disimpulkan sebagai entiti yang sangat penting kepada kelansungan sistem konsosiasionalisme itu sendiri. Namun, saya tertarik untuk meminjam kenyataan Mosca dan Pareto (1939 dan 1966) yang menyatakan “nasib massa itu ditentukan oleh para elit”. Andaian bahawa rakyat adalah sempit (perokial) sedangkan elit itu bersifat universal. Sebelum penulisan ini dipanjangkan, Teori Elit diperkenalkan oleh Mosca dan Pareto dan teori ini merupakan kritikan terhadap teori pluralisme/liberal yang menegaskan bahawa partisipasi politik semakin berleluasa dan perlu diagihkan hak mengundi, perwakilan dan kawal dan imbang (check and balance). Di samping itu, kemunculan teori ini hasil kritikan idea Karl Marx yang menegaskan bahawa kaum pemodal (bourgeois) akan menentukan arah politik dan juga menolak idea Karl Marx lagi bahawa golongan pekerja (massa) boleh menggantikan golongan atasan dalam hal-hal pemerintahan  seperti di dalam sistem komunisme. Menurut Pareto (1966) sesuatu masyarakat boleh di bahagikan antara elit dan massa. Elit pula boleh terdiri daripada dua jenis iaitu elit yang memerintah dan bakal pemerintah. Elit dalam suasana penguasaan kuasa politik sesebuah negara seolah-olah oligarki.  
Walau bagaimanapun, suasana politik Malaysia secara terangnya merujuk kepada elit mengikut kaum dan keadaan ini selari dengan kehendak amalan demokrasi konsosiasional. Namun begitu, golongan elit yang diandaikan sebagai universal, sudi berkerjasama, sedar akan sistem keseluruhan dan yang paling penting elit itu bersifat altruistik (altruistic)[3] dikatakan mampu membawa rakyat kearah perkembangan politik, ekonomi dan sosial dilihat kabur. Elit mengikut kaum adalah satu amalan yang selari jika diambil kira keperluan sensitiviti kaum lain namun keadaan di Malaysia seolah-olah menunjukkan kepada kita bahawa elit itu hanya berkerjasama sesama mereka untuk kepentingan kedudukan mereka sahaja lantas hal-hal berkaitan kebajikan rakyat diketepikan begitu sahaja dengan membiarkan massa berada dalam keadaan pepecahan. Persoalan lain ini muncul apabila elit mengikut kaum tidak lagi bersatu hati dan tidak mempunyai sikap negarawan yang sejati untuk menyatupadukan massa di peringkat bawahan. Hakikatnya, golongan elit perlu menjaga kepentingan kaum masing-masing dan berusaha untuk mengekang kemunculan konflik dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum. Andaian elit merupakan golongan yang sangat mengambil kira betapa merbahaya sekiranya konflik berterusan dan elit perlu untuk mengelak konflik dan mengekalkan kestabilan adalah sesuatu yang menyimpang.
Kajiaan kes golongan elit di Malaysia dapat diskopkan kepada tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu  elit Melayu (UMNO), elit Cina (MCA) dan elit India (MIC). Ketiga-tiga elit ini dilihat tidak bersatu hati dangan mengenepikan kehendak rakyat dengan mengutamakan kedudukan politik mereka. Keadaan ini secara langsung dapat mewujudkan konflik antara kaum apabila masyarakat Melayu merasa kedudukan ekonomi dan politik mereka tergugat dan begitu juga halnya kepada kaum-kaum lain. Maka, dalam situasi sebegini mahu tidak mahu elit perlu mencari jalan keluar dengan mendengar masalah rakyat dan menanganinya sebaik mungkin. Itulah tugas elit di dalam menjaga kelansungan demokrasi permuafakatan yang diamalkan oleh negara kita Malaysia.
Saya menyedari kuasa dan kedudukan adalah bersifat kontradiktif jika skop kajian dihalakan kepada kebajikan rakyat dan kelancaran perjalanan demokrasi permuafakatan itu sendiri. Jadi, saya dapat nyatakan bahawa elit di Malaysia itu gagal dalam konteks perkauman kerana elit kini sudah tidak bersifat altruistik. Kebanyakan elit mengikut kaum lebih mengutamakan hak peribadi daripada hak rakyat. Keadaan ini dapat dilihat pada pemilihan majlis tertinggi baik daripada UMNO, MCA dan juga MIC. Sebagai contoh, perebutan kerusi dalam kalangan elit Barisan Nasional (BN) sering kali kita dengar pada setiap kali berlansungnya pilihnaraya kecil dan umum dan hal ini memperlihatkan kepentingan peribadi lebih diutamakan.
Kajian kes di Malaysia juga tertumpu kepada kegagalan elit itu apabila wujudnya elit penentang iaitu parti pembangkang. Maka dalam situasi sebegini, perpaduan elit sekaum itu tidak mampu berkembang kerana tidak ada satu kaum pun di Malaysia yang majoriti melainkan perkongsian kuasa itu sendiri yang mampu memberi ruang dan peluang untuk memerintah. Elit-elit penentang ini bolehlah dihalakan kepada parti-parti pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS, DAP dan lain-lain parti. Namun tiga parti pembangkang ini sangat memberi impak kepada kegagalan elit mengikut kaum itu sendiri. Masyarakat Melayu mempunyai tiga parti dominan pilihan iaitu UMNO, PAS dan PKR. Keadaan ini secara langsung mengakibatkan masyarakt Melayu terpisah-pisah mengikut ideologi dan kaedah politik yang berbeza-beza. Lantas, perpaduan dalam kalangan kaum Melayu terjejas. Saya juga melihat kewujudan parti pembangkang mempunyai nilai kebaikannya juga jika pemerhatian kita dihalakan kepada proses kawal dan imbang (check and balance) terhadap parti pemerintah. Namun begitu kajian ini hanya tertumpu kepada keberkesanan demokrasi konsosiasional yang menampakkan perpecahan dalam kalangan sekaum adalah didasari oleh faktor wujudnya elit penentang sekaum.
Hubungan elit-massa juga dilihat penyebab kepada kegagalan kepada akauntabiliti elit itu sendiri. Hubungan elit-massa perlu diperkukuhkan iaitu apabila elit tahu akan tanggungjawab dan kehendak rakyat di bawah. Namun begitu, keadaan sebaliknya berlaku iaitu hubungan elit dan massa kelihatan longgar yang disebabkan oleh perubahan sosial yang didokong oleh kumpulan tersebut. Kedudukan sosial mengakibatkan kumpulan elit berasa perlu dihormati setinggi-tinggi mungkin pada hal rakyat tidak rela berbuat hal demikian. Kelonggaran hubungan elit-massa secara langsung telah mencacatkan perjalanan demokrasi konsosiasional di Malaysia yang secara relatifnya berhubung dengan tanggungjawab golongan elit itu sendiri.

Seharusnya kita bersatu membetulkan yang salah atau lebih murninya yang tersasar dari jalan yang benar

MANIPULASI ELIT DALAM POLITIK PERMUAFAKATAN
Elit politik sememangnya menggunakan pelbagai alat untuk mengukuhkan kuasa mereka kerana mereka sedar rakyat bawahan akan bangun untuk menentang kedudukan mereka. Lalu wujudlah pelbagai undang-undang untuk memastikan kedudukan mereka tidak tercabar. Dalam konteks Malaysia Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan lain-lain lagi kononnya adalah untuk memastikan keselamatan negara namun lebih daripada itu iaitu untuk memastikan kedudukan dan kepentingan elit politik itu sendiri tidak diganggu gugat.
Tulisan Barraclough, “The Dynamics of Coercion in Malaysia Political Process” (1985), Horold Crouch “Politic and Society in Malaysia” (1996), Case dalam penulisannya “Elite Regime in Malaysia: Revisiting Consociational Democracy In Malaysia” (1995) merupakan tulisan untuk menjelaskan pelbagai cara dan alat sekatan yang digunakan oleh pemerintah di dalam proses politik di Malaysia. Para pemimpin yang merupakan elit politik ini pandai menggunakan dan mempraktikkan amalan demokrasi yang kononnya permuafakatan apabila kuasa dikongsi bersama, membenarkan kehadiran pembangkang, tidak melarang pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tetapi hakikatnya proses politik dikawal oleh mereka dari segi monopoli media dan sekatan demi sekatan. Hakikat inilah menunjukkan bahawa kuasa yang dipegang hanyalah bersifat kepentingan peribadi bukanlah untuk kebaikan dan kebajikan rakyat. Lantas, bagaimana perjalanan kawal dan imbang itu mampu bergerak dengan lancar melainkan semua kebaikan elit pemerintah acap kali dipaparkan dan ditokok tambah di dalam media massa itu sendiri. Keadaan ini jelas dapat dilihat pada penubuhan media kerajaan seperti Radia Televisyen Malaysia (RTM), Akhbar Utusan, Berita Harian dan lain-lain.
Elit politik sedar akan kemunculan massa yang akan melalui proses mobiliti politik dan akhir sekali mengganggu gugat penguasaan mereka. Kemunculan kelas menengah dalam lanskap politik Malaysia amat membimbnagkan elit politik yang berada pada kedudukan tertinggi dan disegani. Berbalik kepada realiti amalan parti pemerintah yang membenarkan persaingan dan pembangkang bergerak untuk tujuan meraih sokongan rakyat baik dalam perhimpunan aman namun begitu, parti pemerintah sering kali menghadkan pergerakan politik elit pembangkang apabila media-media dikuasai dan dimonopoli oleh pemerintah. Lantas, bagaimana pihak luar bandar mampu memperoleh maklumat yang cukup daripada setiap dasar dan aturan politik yang telah diatur oleh pemerintah sedangkan pemerintah hanya menyebarkan maklumat tentang kebaikan dasar itu sahaja tanpa memberi maklumat yang lengkap. Dalam ertikata lain rakyat yang berjiwa demokrasi mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat yang tepat dan lengkap daripada pemerintah tentang sebarang dasar yang digagasakan namun dinafikan hak mereka sebagai rakyat yang kononnya hidup dalam suasana politik demokrasi. Dalam keadaan sebegini kita dapat lihat betapa kuatnaya pengaruh elit pemerintah untuk mengekang mobiliti masssa berlaku untuk kelangsungan pengaruh mereka pada peringkat tertinggi. Rakyat bagaikan dirampas hak mereka lebih-lebih lagi dalam soal undang-undang yang menyekang mereka untuk bersuara dengan penubuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Hasutan dan lain-lain. Jelas di sini bahawa wujudnya manipulasi elit pemerintah dan sebagai akibatnya rakyat terpedaya dengan pendekatan demokrasi ynag mengutamakan hak rakyat walaupun semua keputusan berada di tangan elit pemerintah. Apa yang kita fahami dengan proses urus tadbir (governance) iaitu pemerintahan daripada tangan rakyat hanya berlegar dalam penguasaan elit pemerintah itu semata-mata.
Ironinya, massa tidak sedar mereka sedang dimanipulasi oleh elit pemerintah. Secara praktikalnya, massa digunakan untuk memelihara kepentingan pemimpin-pemimpin pemerintah atasan. Perbezaan kelas tetap wujud, miskin kaya tetap berleluasa malah menjadi semakin luas. Kelas bawahan sentiasa mengeluh tentang makanan tidak cukup, sewa rumah semakin tinggi. Keperitan ini ditanggung oleh semua kaum, kerana penderitaan tidak mengenal kaum. Lantas, wujud anggapan “di mana pemimpin kita yang dahulunya melaung-laungkan kepentingan kita”. Itulah hakikatnya golongan elit atasan yang sentiasa memanipulasi fakta untuk kestabilan kedudukan mereka dan kesannya tertumpu kepada golongan kelas bawahan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Keadaan ini mampu mewujudkan ikatan kelas yang bersifat horizontal iaitu semua golongan kelas bawahan daripada semua kaum berpadu membentuk kuasa politik sepadu untuk menentang dan mewujudkan konflik antara kelas bawahan dan elit pemerintah. Menurut pandangan Cham di dalam “Class and Communal Conflicts in Malaysia” (1975) dengan merujuk kepada kes Malaysia beliau menulis:
“….communalism as a divisive political force does not arise simply from cultural differences among groups. In Malaysia, communalism arises as a result of class distortion through elite manipulation. It is the product of an economic and political order that allow the few to live on the hard labour of the many and permits the few to exploit and manipulate racial sentiment in order to maintain and perpetuate their economic and political supremacy”
(Cham 1975: 451) 
Saya melihat konsosiasionalisme yang meliputi hubungan kaum di Malaysia tidak seindah yang diinginkan iaitu untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan semua kaum di Malaysia. Kerajaan permuafakatan yang wujud selama ini hanya melibatkan pihak kepimpinan elit politik di peringkat atasan dan tidak melibatkan massa secara keseluruhan. Jika diamati pada peringkat bawah massa yang hidup berasingan dan gagal disatukan walaupun tanggungjawab elit politik untuk tujuan tersebut namun dibiarkan begitu sahaja asalkan kepentingan elit politik tersebut tidak diancam. Secara praktikalnya, golongan elit sendiri tidak suka melihat hubungan rapat antara kaum yang berbeza di peringkat massa kerana mungkin akan mengancam beberapa dasar yang telah dipersetujui di peringkat atasan sahaja (Dutter 1978: 564).


KELAS MENENGAH
Oleh kerana kajian ini juga akan memberi perhatian kepada kemunculan kelas menengah terpelajar maka, pengenalan akan golongan ini perlu dibincangkan terlebih dahulu. Kita menyedari bahawa golongan kelas menengah terpelajar merupakan mereka yang mempunyai ilmu dan pengetahuan di dalam lapangan pengajian yang berbeza-beza. Sehubungan dengan itu pada masa kini, mereka (kelas menengah terpelajar) dilihat dan diharapkan sebagai golongan yang akan bangkit menyuarakan pandangan politik malah mampu bergiat aktif dalam suasana politik di Malaysia. Dalam konteks transformasi masyarakat melalui perindustrian dan pembentukan kelas menengah, pendidikan memainkan dua peranan utama (Abdul Rahman Embong, 1996). Pertama, pendidikan adalah satu bidang yang amat penting bagi memungkinkan berlakunya proses penindustrian dengan lancar kerana dengan pendidikan dapat menyediakan sumber daya manusia yang terdidik dan terlatih untuk keperluan industri. Kedua, pendidikan ialah proses yang amat penting untuk menghimpunkan modal budaya bagi memungkinkan pembentukan kelas menengah dan juga kelas-kelas lainnya. Pendemokrasian pendidikan, khususnya pendidikan tinggi, adalah satu mangkin bagi transformasi masyarakat Malaysia dalam pembentukan kelas menengah.
Kelas menengah merupakan kelas yang sederhana, baik dari sudut pendapatan mahupun sosial. Di dalam pertumbuhan demokrasi, kelas ini dianggap elemen penting yang mempengaruhi perkembangan masyarakat. Kehadiran kelas menengah akan menjadi pencetus kepada tuntutan-tuntutan sivil yang akhirnya boleh membawa kepada perkembangan demokrasi (Lipset dan Moore, 1959). Dalam konteks masyarakat, kelas menengah sememangnya wujud tetapi masih belum cukup berpengaruh tetapi akhir-akhir ini, kelas menengah telah menampakkan perkembangan yang efektif. Namun begitu, akibat daripada masyarakat yang terlalu terbahagi berasaskan kaum, telah mengurangkan kesepaduan kelas ini. Dalam ertikata lain, ia berpecah berasaskan kaum meskipun mereka berkongsi berbagai kepentingan yang sama. Kelas menengah moden yang sudah lahir pada abad ini terdiri daripada  pegawai kerajaan, pengurus syarikat  swasta, ahli sains, jurutera, akauntan, doktor, pensyarah, peguam dan lain-lain lagi.



GLOBALISASI: KEMUNCULAN GOLONGAN KELAS MENENGAH DAN “POLITIK BARU” DI MALAYSIA
            Globalisasi dan kemunculan kelas menengah bolehlah dianggap saling berkaitan dan perkataan globalisasi itu sendiri boleh dianggap sudah menjadi satu perkataan yang sering disebut oleh pelbagai pihak dalam pelbagai wacana pada peringkat tempatan dan antarabangsa. Globalisasi juga dikatakan menjadi konsep yang penting yang dapat membantu kita memahami transformasi  masyarakat di dunia dengan menarik perhatian kita kepada perubahaan asas yang sedang berlaku dalam era selepas Perang Dingin. Globalisasi yang terjelma dalam bentuk pemampatan masa dan ruang dalam hubungan sosial memungkinkan perubahan di peringkat antarabangsa lalu  mempengaruhi sesebuah negara dan perhubungan dalam negeri supaya menjadi lebih luas dan pantas. Perubahan struktur kelas amat ketara di bawah dampak globalisasi. Mengapakah globalisasi sangat berkait rapat dengan kelas? Apa itu sebenarnya kelas? Merujuk kepada pendekatan teoritis tentang perspektif kelas, kelas merujuk kepada kumpulan manusia yang berada dalam kedudukan ekonomi yang sama dalam masyarakat yang berstrata. Peluang hidup mereka dalah sama malah kepentingan ekonomi juga adalah sama. Namun, punca ikatan kelas mereka berbeza.  
Menurut sarjana barat Karl Marx[4], beliau menyatakan bahawa kelas berkait dengan ragam pengeluaran yang dirujuk kepada individu yang  memiliki alat pengeluaran dan hubungan sosial. Dalam proses pengeluaran berlaku berubahan dari satu tahap ke tahap lain bergantung jenis masyarakat itu.  Karl Marx membahagikan kelas kepada masyarakat feudal dan masyarakat kapitalis. Dalam masyarakat feudal Karl Marx menyatakan bahawa wujudnya kelas-kelas utama iaitu kaum wangsa yang memiliki tanah dan golongan naungan iaitu terdiri daripada kaum petani yang tidak bebas dan sering berpindah-randah ke tempat lain. Manakala masyarakat kapitalis pula ialah terdiri daripada kaum  pemodal dan pekerja (kelas-kelas utama). Atas dorongan ingin mengaut keuntungan, kelas kapitalis ini telah melakukan eksploitasi dan penindasan. Lalu hal ini telah meninbulkan konflik kelas. Kaum pemodal telah menyediakan tapak khas dan mesin untuk pengeluaran sektor. Apabila kaum-kaum pekerja tinggal dan bekerja dalam satu unit, komunikasi antara mereka lebih efektif  dan akhirnya timbul kesedaran tentang penindasan dan eksploitasi oleh kaum pemodal terhadap mereka. Ditambah dengan fenomena globalisasi yang melanda dunia, tahap pengetahuan dan kesedaran semakin meningkat apabila jaringan komunikasi antara kaum pekerja lebih mudah dan cepat. Kesannya mereka telah berani melakukan mogok ke atas golongan pemodal.
Namun, berbeza dengan dengan perspektif kelas oleh sarjana barat Max Weber yang menyatakan kelas merujuk kepada kepenggunaan iaitu hartamilik, pendapatan mahupun taraf hidup atau juga dikenali sebagai ‘status ekonomi sosial’ (SES). SES juga diambilkira melalui prestej dan kehormatan yang dimiliki oleh individu bukan semata-mata faktor ekonomi. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia kewujudan kelas, kepentingan kelas dan ikatan kelas tidak berapa jelas kerana sentimnn etnik lebih menebal. Namun, dengan pembangunan ekonomi kapitalis, perbezaan kelas makin ketara khasnya dalam sesuatu kaum yang terdiri daripada kelas atasan, menengah dan bawahan. Adakalanya kelas bertindan lapis dengan kaum malah kadang-kala merentasi garis kaum sehingga pihak berkuasa terpaksa mengenakan sekatan untuk banteras pertubuhan ikatan kekelasan ini. Dasar-dasar yang lebih mengutamakan kepentingan kelas atasan telah menyebabkan kaum buruh dianak tirikan seperti tiada dasar gaji yang minima serta sistem cukai yang tidak progresif. Hal ini pada pandangan saya memang terjadi di Malaysia kerana saya memgetahui bilangan miskin tegar meningkat dari hari ke hari. Habuan yang mereka terima tidak setimpal dengan kerja yang dilakukan oleh kerana kerana dasar yang tidak seimbang.
Saya amat bersetuju bahawa terdapat persamaan antara Karl Marx dan Max Weber dalam membincangkan perspektif kelas. Hujahan mereka pada pandangan saya bernas kerana menurut mereka, apabila ekonomi mendadak, kedudukan status ketinggalan dan menurun tetapi sentimen kelas lebih menonjol. Hari ini, jelas bahawa kelas atasan adalah golongan mendominasi ekonomi. Namun begitu, saya percaya bahawa disebalik sentimen kekelasan, terdapat ikatan primodial dalam kalangan mereka yang cenderung untuk memihak dan memilih kaum atau etnik sendiri. Adakah perkara ini sesuai dengan budaya politik Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum dan bangsa? Apa yang dikhuatiri ialah mungkin ada sesetengah pihak cuba mencari peluang  untuk menimbulkan sentimen perkauman dalam kalangan mereka. Oleh yang demikian, pada pandangan saya, konsep demokrasi konsosiasional atau permuafakatan adalah jalan terbaik bagi membendung permasalahan ini. Menurut Lijphart (1969) pada ulasan saya di atas telah membuat kajian di negara-negara yang berbilang kaum untuk cuba mencari formula kepada penyelesaian masalah ini. Lijphart mengatakan, pembentukan demokrasi konsiasional dapat mewujudkan kestabilan politik kerana mengutamakan pengagihan sumber politik dan ekonomi kepada kelompok yang berbeza. Serentak itu perkongsian kuasa yang diamalkan dapat memberi kepuasan kepada berbagai kaum dari masyarakat tersebut meskipun tidak semaksimumnya. Dengan itu, ia dianggap jalan keluar yang realistik kepada masalah kemajmukan dan persaingan kaum[5].
Apabila rakyat sesebuah negara mempunyai kesepakatan dan harmoni, nescaya negara tersebut dapat mengharungi implikasi globalisasi yang melanda dunia hari ini. Idea dan konsep globalisasi adalah rentetan daripada tamatnya Perang Dingin, keruntuhan Tembok Berlin dan kejatuhan empayar Soviet yang bermula pada tahun 1989 (FKW, Loh dan Joakim Nystrom, 2005). Kesan globalisasi ke atas aspek politik telah wujud apabila kemunculan regionalism yang berlaku dalam perkembangan dan pengukuhan Europian Union, kemudiaannya pada tahap yang secara relatif sedikit apabial kemunculan NAFTA dan ASEAN. Arus globalisasi telah membawa kepada pengurangan nasionalisme dan kewibawaan negara menurut sesetengah pemerhati. Oleh yang demikian, peranan yang dimainkan oleh UN, Bank Dunia, IMF dan WTO telah meningkat. Mengambil contoh impak arus globalisasi yang berlaku di Malaysia, dari aspek sosio-budaya, telah meningkatkan homoginasi atau standarisasi dunia. Kehidupan seharian kita telah menjadi semakin sama tidak kira di mana saja kita berada dan apakah asal usul keturunan kita. Ya, sebagai generasi yang lahir pada era kerancakan globalisasi, saya dapat merasakan kehidupan hari ini seakan sama dari segi pemakaian, makanan (McD, Pizza Hut), rancangan televisyen (CSI, American Idol) dan alat teknologi (I-Phone, I-Pod, PSP). Maka menunjukkan dengan jelas bahawa perbezaan budaya telah semakin berkurang. Namun begitu, globalisasi sosio-budaya tidak keseluruhannya menyebabkan semua orang meniru orang Barat. Hal ini kerana di Malaysia telah wujud proses ‘glokalisasi’ dan ‘hibridasi’ iaitu penjenamaan dalam menu makanan seperti ‘McRendang’ dan ‘Prosperity Burger’, ini adalah usaha demi memastikan ciri-ciri tempatan dan identiti dapat dikekalkan.
Secara amnya, globalisasi ekonomi merujuk kepada perluasan sistem ekonomi bebas yang memasukkan negara-negara bekas komunis dan juga negara-negara sedang membangun. Khususnya merujuk kepada peningkatan polisi liberalisasi, deregulasi dan penswastaan ekonomi  (economic liberazition deregulation and privation, LDP). Dibawah pemerintahan Tun Dr. Mahathir dan rejim ekonomi  Tun Daim Zainuddin, polisi LDP telah pun diperkenalkan dan berjaya menstimulasikan ekonomi Malaysia terutama sekali selepas kemelesetan ekonomi pada pertengahan 1980an. Ekonomi diliberalisasikan untuk memudahkan kemasukan pelaburan asing iaitu menerusi “foreign direct investment” (FDI) itu sendiri di dalam sektor-sektor seperti pembuatan dan kewangan: aliran kapital portfolio  ke dalam pasaran kewangan dan KLSE; serta membantu pertukaran perdagangan Malaysia dengan negara-negara lain. Deregulasi pula memindahkan sebarang halangan perlindungan syarikat tempatan Malaysia, pengurangan sekatan secara beransur-ansur ke atas penglibatan asing di dalam bank, dan juga perlonggaran kuota DEB dalam pemilikan dan pekerjaan. Selepas perlaksanaan Pelan Penswastaan 1991, kebanyakan kemudahan awam, korporat kerajaan dan beberapa projek mega baru telah diserahkan kepada sektor swasta. Ini adalah termasuk Malaysia Airline Systems (MAS), Telekom Malaysia Berhad, Pos Malaysia dan lain-lain. Pada tahun 1990an sektor swasta telah menjana pertumbuhan ekonomi. Kebanyakan rakyat Malaysia, terutama kelas perniagaan telah mengalu-alukan penswastaan kerana ia mendatangkan peluang kepada mereka. Dasar LDP  telah berjaya menstimulasikan dan mengembangkan pertumbuhan ekonomi keseluruhannya serta menstruktur semula masyarakat Malaysia. Golongan yang paling berjaya adalah pihak-pihak yang menyesuaikan diri bersama ekonomi baru yang global, berdasarkan ICT dan pengetahuan K-ekonomi selari dengan arus globalisasi yang memuncak. Namun, LDP masih menguntungkan pihak atasan dan meningkatkan kronisme. Tambahan itu, kemunculan dasar Neo-liberal LDP juga telah membawa pembangunan yang tidak seimbang malah  jurang antara kelas semakin lebar sehingga memberi  implikasi terhadap politik kelas menengah (FKW, Loh dan Joakim Nystrom, 2005). Persoalannya siapa lebih untung melainkan golongan atasan itu sendiri yang semestinya elit-elit tanpa mengira kaum dan golongan bawahan tetap berada pada tokok lama yang miskin tetap miskin tanpa pembelaan.
Pada sub topik ini saya suka menyatakan bahawa Malaysia telah mengalami perubahan struktur masyarakat dan akhirnya mewujudkan satu kelas menengah terpelajar baru yang terdiri daripada pelbagai kaum dan mereka secara relatif berhubung dengan budaya politik bersifat“etnicism”, “developmentalism” dan “demokrasi berpartisipasi”. Oleh hal demikian, rentetan daripada budaya politik yang berbau perkauman pada suatu ketika dahulu, Malaysia telah diwarnai oleh ‘politik baru’ akibat kesan pertentangan antara wacana dan amalan politik “etnicisme”,”developmentalisme” dan “demokrasi berpatisipasi” (FKW Loh dan J Saravanamuttu, 2003).
Etnicisme” merupakan wacana dan amalan politik yang memberi keutamaan kepada tanggapan peribadi kaum sendiri yang agak ekslusif dan tidak merangkumi pihak lain. Hubungan dan kepentingan sosial serta mobilisasi dan perwakilan politik juga berdasarkan kaum. Maka sering berlaku ketegangan dan konflik perkauman dalam sebuah masyarakat majmuk. Keadaan ini mengancam kestabilan politk. Pada hakikatnya, ketegangan dan konflik kaum ini bukan disebabkan satu proses semulajadi. Rakyat yang berbeza kaum tidak semestinya saling membenci, dan tidak boleh hidup mesra atau pun bertolak-ansur antara satu sama lain dalam masyarakat. Ketegangan dan konflik pada amnya berlaku disebabkan sesetengah pihak telah memilih untuk mewujudkan  (choose to construct) keperibadian, kepentingan, mobilisasi politik dan hubungan mengikut kaum masing-masing, disamping mengenepikan atau menidakkan sama sekali pihak lain (marginalizing or erasing ‘the other’).Etnicisme telah mendominasikan budaya politik Malaysia dari awal hingga baru-baru ini. Hal ini secara langsung telah mewujudkan golongan kelas menengah terpelajar baru yang menampakkan kecenderungan kearah politik sekaum tanpa mempedulikan kaum lain. Maka, dilihat konflik antara kaum tidak mustahil mampu muncul jika elit politik itu tidak bertindak. “Developmentalisme” pula merujuk kepada wacana atau amalan budaya politik baru hasil daripada pembangunan ekonomi yang mendadak dan secara khususnya ia merujuk kepada kemajuan kebendaan dan ingin saya tambahkan disini bahawa globalisasi cukup memainkan peranan penting kepada para developmentalis dalam mencapai peningkatan keselesaan hidup seharian. Mana tidaknya jaringan komunikasi yang begitu mudah menyenangkan mereka untuk berurusan diperingkat lokal mahupun antarabangsa bagi menjamin kelangsungan sektor kewangan dan sumber ekonomi masing-masing. Pembangunan dan kemajuan kebandaran menjadi sebahagian nilai yang dihargai oleh masyarakat khasnya di kalangan kelas menengah baru. Malahan orientasi ini  juga menghargai kestabilan politik yang dipercayai  adalah perlu untuk meneruskan pembangunan. Pemerintahan yang berorientasikan pembangunan sering menggunakan dasar-dasar politik yang kurang demokratik demi meneruskan kuasanya. Namun wacana pembangunan ini sungguh mengagumkan rakyat sehingga mereka sanggup mengenepikan nilai-nilai demokrasi yang sebenar. Pemahaman “developmentalisme” ini juga boleh saya halakan kepada cara golongan kelas menengah terpelajar menilai pembangunan itu lebih daripada nilai demokrasi itu sendiri. Kita sedar bahawa wujud juga golongan yang lebih mengutamakan pembangunan lahiriah tanpa mempedulikan aturan demokrasi yang diamalkan oleh elit-elit asalkan kemajuan mampu dicapai dengan mengubah taraf hidup mereka. Maka, kemunculan golongan menengah terpelajar ini dilihat kurang berperanan dalam mengubah struktur politik yang menampakkan dominasi elit-elit di peringkat atasan keatas massa.
Wacana terakhir ialah “demokrasi berpatisipasi”. Kewujudan  NGO  sejak tahun 1980an dan pergerakan reformasi di masa kebelakangan  ini telah mewujudkan sebahagian kelas menengah khususnya dan rakyat amnya, juga bersikap bersikap kritis terhadap dasar-dasar pemerintahan berorientasikan pembangunan (developmentalisme) yang dianggap terlibat dalam politik wang, memanipulasikan sentimen-sentimen perpaduan di samping memusatkan kuasa pada diri sendiri. Maka, bagi rakyat yang tertarik dengan demokrasi berpatisipasi yang suka saya halakan kepada kelas menengah terpelajar ini terhadap demokrasi prosedurel yang menumpu kepada partisipasi dalam proses pilihanraya formaltiap-tiap 4 sehingga 5 tahun. Tambahan pula, golongan kelas menengah ini juga ingin menyertai politik dalam erti yang lebih luas dan menuntut antara lain pemerintahan lebih bertanggungjawab, telus dan adil. Hak-hak asasi manusia sejagat seperti hak-hak bersuara, berkumpul dan mendirikan persatuan, disamping ‘rule of law’ sering menandai perjuangan mereka. Undang-undang keras yang menyekat hak-hak tersebut ditolak sama sekali. Pada amnya, mereka kelihatan lebih sudi bekerjasama diantara satu sama lain tanpa ada rasa perbezaan kaum, jantina mahupun agama. Mobiliti kemunculan kelas menengah ini yang sudah pastinya terkesan daripada era globalisasi memungkinkan mereka untuk bersatu hati lantas mendesak elit politik agar bersikap altruistik dengan memberikan lebih perhatian kepada massa dari segi kebajikan yang semaksimum mungkin dan bukan untuk menjaga kepentingan mereka pada peringkat tertinggi. Wacana “demokrasi berpartisipasi” sangat dituntut di dalam menggerakkan perjalanan demokrasi konsosiasional di Malaysia kerana wacana ini dapat mewujudkan perpaduan dalam kalangan rakyat tanpa mengira kaum untuk menuntut hak-hak dan tanggungjawab elit terhadap massa secara keseluruhan.
Tiga bentuk wacana yang diperjelaskan di atas tadi sangat berkait rapat dengan corak politik yang diamalkan oleh golongan kelas menengah terpelajar pada masa kini dan hal demikian bersifat pro dan kontra terhadap amalan demokrasi konsosiasional itu sendiri.



KELEMAHAN DEMOKRASI PERMUAFAKATAN
Di dalam suasana lanskap politik Malaysia, saya melihat terdapat dua kelemahan yang memungkinkan gangguan perjalanan proses politik itu sendiri. Namun begitu, saya juga yakin bahawa demokrasi konsisiasional ini merupakan satu bentuk amalan politik yang terbaik untuk Malaysia kerana kemajmukan yang dimiliki. Tuntutan-tuntutan yang melampau tidak mungkin dapat ditunaikan oleh pihak pemerintah melainkan kepentingan terpenting dahulu disegerakan.  Lantas, wujud golongan yang tidak dapat menikamati kehendak mereka. Dalam erti kata lain, adalah mustahil untuk pemerintah menunaikan setiap tuntutan yang dibuat oleh rakyatnya tambahan lagi di dalam skop masyarakat majmuk. Menurut David Easton di dalam “A Framwork for Political Analysis” (1965: 112) beliau meggariskan model sistem politik terdapat empat komponen utama iaitu suasana sekeliling di mana ssitem itu bergerak, input, output dan maklumbalas[6]. Suasana tersebut boleh dinyatakan sebagai keadaan politik yang terdiri daripada kaum yang berbeza. Input pula berkisar mengenai tuntutan yang dibuat oleh kaum-kaum yang berbeza tersebut dan output adalah keputusan dan tindakan yang dicapai di dalam sistem politik tersebut sama ada tuntutan dilayan atau sebaliknya. Akhir sekali maklumbalas merujuk kepada kitaran tuntutan tadi berlegar di dalam sistem politik selagi mana tuntutan kaum-kaum yang berbeza tadi tidak dipenuhi. Namun begitu, di dalam skop elit pemerintah mengikut kaum ini, mereka harus berusaha menjaga kebajikan rakyat dengan melebihkan kepentingan rakyat daripada kepentingan peribadi.
Kelemahan demokrasi permuafakatan boleh diamati daripada nilai demokrasi yang rendah dan terhad. Jadi,  penguasaan berstruktur pihak elit menjadikan kumpulan bukan elit pasif dan mengalah. Seperti yang dijelaskan pada ulasan “Manipulasi Elit Dalam Demokrasi Permuafakatan” di atas menunjukkan kepada kita bahawa wujudnya elit-elit mengikut kaum yang cenderung berkerjasama antara mereka untuk mengaut kemewahan dan menjaga kepentingan mereka sahaja tanpa mempedulikan massa di peringkat bawahan. Penguasaan kuasa hanya berlegar dalam kalangan elit itu sahaja tanpa memberi ruang untuk massa memobilitikan diri mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum di peringkat bawahan dan akhirnya massa tadi akan mengalah dan hanya berharap kepada elit semata-mata dalam segala hal. Kedua, kestabilan politik terjejas. Amalan demokrasi konsosiasional ini bererti kerajaan dibentuk mewakili kaum yang berbeza untuk menubuhkan kerajaan campuran. Maka, dapat dilihat bahawa setiap keputusan dan dasar lambat dan sukar dicapai kerana memerlukan persetujuan pelbagai segmen. Hal demikian merugikan rakyat unutk menikmati manfaat daripada sesuatu dasar tersebut. Kita menyedari bahawa kewujudan pelbagai kaum memungkinkan wujudnya tuntutan yang berbeza yang semestinya tidak disepekati oleh kaum lain. Tidak mungkin akan wujudnya tuntutan yang sama daripada rakyat yang berbilang kaum kerana setiap tuntutan didasari oleh latar belakang, kepercayaan dan sejarah sesuatu kaum tersebut. Sesuatu keputusan secara amalannya sukar dicapai.

SARANAN
Saya suka kembali kepada amalan demokrasi moden sebenar yang telah digariskan oleh Robert A.Dahl di dalam punulisannya “On Democaracy”(1998)[7]. Beliau menggariskan Perlembagaan berfungsi sebagai intrumen untuk menghadkan kuasa dan kawalan operasi formal kerajaan, samada secara tulisan, secara norma atau gabungan kedua-duanya. Lazimnya Perlembagaan akan memasuki dotrin pembahagian kuasa untuk memastikan seseorang itu tidak diberi lebih dari satu kuasa. Pilihanraya perlu  dikelolakan secara berkala, bebas dan adil di samping rakyat diberi hak mengundi. Beliau lagi menekankan kebebasan bersuara seperti berceramah, berhimpun dan sebagainya untuk mengawal kuasa elit pemerintah dan dalam istilah lain dapatlah disifatkan sebagai satu proses “check and balance”. Selain itu, kebebasan akhbar dan akses kepada media lain dan kebebasan persatuan iaitu semua orang dalam masyarakat menikmati hak yang sama dari segi undang-undang. Salah satu pra-syarat demokrasi ialah wujudnya Aturan Undang-Undang “Rule of Law” (hak sebagai warganegara, ‘human rights”). Akhir sekali berkisar mengenai rakyat yang berpendidikan dan berpengetahuan tentang hak asasi manusia dan tanggungjawab sivik adalah amat dialu-alukan.
Daripada amalan demokrasi yang digariskan oleh Robert A.Dahl, kita menyedari  di dalam konteks Malaysai bahawa elit itu kerap kali memanipulasi massa di peringkat bawahan. Oleh hal demikian, kawalan terhadap elit politik adalah perlu untuk memastikan golongan ini tidak tersasar daripada objektif asal mereka dilantik sebagai pemimpin untuk menjaga kebajikan rakyat yang dibagikan kepada kaum-kaum yang berbeza. Kawalan terhadap elit secara langusng dapat dilakukan dengan aturan undang-undang “rule of law” tanpa mengira kedudukan sosio-ekonomi mereka. Dalam erti kata lain, jika elit melakukan kesalahan seperti rasuah umpamanya, mereka juga akan dihadapkan ke mahkamah. Tidak ada layanan istimewa untuk mereka atas alasan mereka merupakan golongan pemimpin yang menentukan dasar untuk kemakmuran rakyat. Pendekatan “rule of law” secara langsung dapat mengekang sikap elit-elit mengikut kaum ini agar tidak melakukan ap-apa perkara yang ternyata salah di sisi undang-undang. Undang-undang yang dibentuk hakikatnya adalah untuk mengawal rakyat agar keselamatan negara terjamin. Jika rakyat boleh dihadapkan kepada muka pengadilan, perkara yang sama perlu berlaku kepada golongan elit juga. Keadaan ini menuntut badan judisiari agar tidak dipolitikkan sewenang-wenangnya untuk kepentingan elit politik itu sendiri. Dewasa ini rakyat selalu disogokkan dengan sistem perundangan yang tidak telus dan dipolitikkan. Maka, amatlah wajar sistem undang-undang bersifat neutral kepada semua lapisan kelas yang menghuni di Malaysia.
Kawalan elit juga boleh berkisar kepada betapa bebas dan adilnya pilihanraya yang diadakan untuk memilih calon-calon pemimpin yang merupakan wakil kepada rakyat. Jadi, sekali lagi sistem pilihanraya yang sememangnya dikawal oleh pihak pemerintah dicabar untuk menjalankan tanggungjawab menguruskan perjalanan pilihanraya agar bersifat adil meskipun pilihanraya tersebut sememangnya tidak bebas atas alasan dikawal oleh pihak pemerintah. Maka, adalah wajar agar perjalanan politik Malaysia mengikut aturan demokrasi yang telah disarankan oleh Robert A.Dahl. Keadaan ini mampu mengawal elit bakal pemerintah agar tidak menggunakan kedudukan mereka setelah dipilih menjadi pemimpin untuk menjaga kepentingan peribadi mereka semata-mata dengan mengabaikan kepentingan golongan kelas bawahan.
Analisis saya seterusnya tertumpu kepada anjakan pemikiran golongan bawahan untuk turut serta dalam politik dan mengambil tahu sebanyak mungkin perjalanan proses politik berlangsung. Daripada sini rakyat dapat mengetahui baik dan buruknya elit politik di kedudukan tertinggi menjalankan amanah rakyat kerana apa yang ditekankan oleh Abraham Lincoln (1809-1865) iaitu democracy is a government “of the people, by the people, and for the people”[8].Oleh yang demikian kita menyedari demokrasi itu merupakan satu proses politik yang berhubungkait dengan ekonomi dan sosial merupakan tanggungjawab yang diserahkan kepada elit pemerintah daripada tangan rakyat itu sendiri. Jadi, elit harus menjalankan tanggungjawab tersebut dan untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dalam kalangan elit maka rakyat perlu juga mengambil tahu hal-hal semasa berkaitan perjalanan politik tersebut.
Akhir sekali kajian saya tertumpu kepada harapan kemunculan kelas menengah terpelajar yang telah diperjelaskan pada sub topik sebelumnya. Oleh kerana faktor globalisasi dan perubahan corak pendidikan yang kiat pesat adalah diharapkan golongan menengah terpelajar mampu mencuri tumpuan dengan mengemukakan pendapat dan kritikan kepada elit politik di atas salah laku yang telah dimainkan oleh elit-elit tersebut. Pendekatan ini sudah tentu menjurus kepada wacana “demokrasi berpartisipasi” yang telah dijelaskan di atas.  Kemunculan golongan menengah juga diharap dapat memberi sumber inspirasi kepada golongan kelas bawahan. Gerakan kesedaran bahawa elit sering kali memanipulasi golongan bawahan dapat dicegah lantas mewujudkan elit politik yang benar-benar mempunyai sifat altruistik yang mana sanggup berkorban untuk kepentingan rakyat.



KESIMPULAN
Masyarakat Malaysia yang semakin celik politik masa kini mengharapkan politik bercorak permuafakatan yang mana elit pemerintah tahu akan tanggungjawab mereka dalam menggerakkan transformasi negara menuju negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini kerana suasana pertentangan antara kaum tidak akan membawa keuntungan kepada rakyat keseluruhannya. Apa lagi dalam keadaan ekonomi negara yang masih suram di kala ini dan hambatan-hambatan lain ekonomi dunia akan terus memalapkan lagi perkembangan ekonomi negara. Maka, amatlah wajar permuafakatan itu disemai kembali. Bagi masyarakat keseluruhannya adalah lebih baik para pemimpin politik mengurangkan"politiking" mereka tidak kiralah dari pihak kerajaan ataupun pembangkang. Carilah jalan permuafakatan tanpa merugikan mana-mana pihak, sebaliknya lebih menguntungkan rakyat. Itulah yang diseru oleh rakyat kelas bawahan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang ekonomi. Jika suasana politik hanya berlegar mengenai kuasa golongan elit sudah tentu harapan rakyat untuk menikmati kesenangan menjadi kabur. Seperti yang dijelaskan pada ulasan sebelumnya bahawa kemunculan “politik baru”, peranan golongan elit yang diharapkan oleh massa dan kemunculan golongan menengah terpelajar di dalam wacana “demokrasi berpartisipasi” mampu bertindak sebagai agen perubahan dalam membina sebuah negara permuafakatan yang stabil dari segi politik, ekonomi dan sosialnya. Selain itu saya juga suka menyatakan bahawa globalisasi itu ada baiknya dalam perubahan suasana politik di Malaysia. Oleh hal demikian, penduduk Malaysia pada masa depan terpaksa berani berdepan dengan cabaran baru yang dibawa oleh arus globalisasi. Kemajuan di bidang teknologi maklumat dan komunikasi akan terus mendorong proses globalisasi yang lebih kompleks. Globalisasi tidak boleh dilihat dari sisi negatif sahaja tetapi perlu dilihat dari lensa yang pelbagai dan menuntut pemikiran yang holistik supaya dapat menimbal balik sudut positif yang akhirnya dapat diterima oleh semua manusia sejagat. Tidak dapat dinafikan dengan kepesatan perindustrian dan pertumbuhan ekonomi yang pesat dibawah dampak globalisasi telah memunculkan kelas menengah baru dan proses globalisasi akan terus melanda Malaysia dengan lebih pesat lagi pada masa hadapan. Sistem ekonom kapitalis Malaysia  amat bergantung kepada pergolakan ekonomi antarabangsa dan juga kepada peranan pemerintah itu sendiri. Namun begitu, apa yang dapat dilihat dalam senario politik Malaysia hari ini, bangkit kelas menengah yang ingin sama membantu mencapai kestabilan dan mereka juga harus berperanan bersama-sama pemerintah. Sudut positif yang dapat dilihat adalah dengan terbangunnya konsep“demokrasi berpasitipasi” yang dipelopori oleh golongan kelas menengah. Pada masa akan datang, saya percaya hasil  wacana dan amalan politik demokrasi berpatisipasi ini mampu dibangunkan oleh golongan kelas menengah ditambahkan lagi dengan pukulan arus globalisasi yang semakin rancak, mereka mampu mencapai kestabilan politik yang utuh tanpa ada sentimen perkauman mahu etnik dan merencahkan lagi warna-warni ‘politik baru’ di Malaysia.

RUJUKAN
Ali, Syed Husin. Kaum, kelas pembangunan Malaysia. Kuala Lumpur: Persatuan Sains Sosial Malaysia, 1984.
Brennan, Martin. "Class, Politics and race in modern Malaysia." Journal of Contemporary Asia, (1985: 12)(2).
Cham, B.N. "Class and communal conflict in Malaysia." Journal Of Contemporary Asia, 1975: 5 (4).
Embong, Abdul Rahman. "Malaysian Middle Class Studies: A Critical Review." In Rethinking Malaysia, by K.S. Jomo (peny), 107-205. Kuala Lumpur: Malaysian Social Science Association, 1999.
Embong, Abdul Rahman. "Malaysian middle class: Some preliminary observation." Jurnal antropologi dan sosiologi, (1995: 22:31-54)
Embong, Abdul Rahman. "Social Transformation, the state and middle classes in post-independence Malaysia." Southeast Asian Studies, 1996a: 34 (3) Disember: (56-79)
Enloe, Cynthia. multi-ethnics politics: the case of Malaysia. Berkeley: University of California Press, 190.
Francis Loh Kok Wah, Joakim Nystrom. Southeast Asian Response to Globalisation: Restructuring Governance and Deepeing Democracy. Copenhagen: NIAS Press, 2005.
Furnivall, J.S. Colonial policy and practise. Cambridge: Cambridge University Press, 1956.
Gledhill, John. Power and its disguises: anthropological perspectives on politics. London : Pluto, 1994.
Gomez, Terence. Political Business: Corporate Involvement of Malaysian Political Parties.Townsville, Queensland: Centre for Southeast Asian Studies, James Cook University, 1994.
Greetz, Clifford. "Primodial sentimens and civil politics in the new state. Dlm. Clifford Gerrts (ed.)." Old societies and new states (Free Press), 1963.
Jomo, K.S. Pembangunan ekonomi dan sosial di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1988.
Jomo, K.S. "A Malaysian Middle Class? Some Preliminary Analytical Considerations." InRethinking Malaysia, by K.S Jomo (peny), 126-48. Kuala Lumpur: Malaysian Social Sciences Association, 1999.
Kah, Joel. "The middle class as a field of ethnological study." In Critical perspectives : essays in honour of Syed Husin Ali, by Muhammad Ikmal Said dan Zahid Emby (ed). Kuala Lumpur: Persatuan Sains Malaysia, 1996b.
Kahn, Joel. "Class, ethnicity and diversity: Some remaks on Malay culture in Malaysia." InFragmented vision: culture and politics in contemporary Malaysia, by J.S Kahn and Francis Loh Kok Wah. Sydney: Allen and Unwin, 1991.
Lijphart, Arend. "Consociational democracy." World Politics, (1969: 21)
Lipset, Seymour M. "Some social requisites of democracy." American Political Science Review, (1959: 53) (1).
Loh Kok Wah, Francis. "Developmentalism and the Limits Of Democratic Discourse." InDemocracy in Malaysia: Discourse and Practices, by F.K.W Loh dan Khoo Boo Teik (peny), (19-50). Richmond, Surrey: Curzon Press, 2002c.
Loh Kok Wah, Francis. "Developmentalisme versus Reformism. The Contest for Bukit Bendera." In New Politics in Malaysia, by Loh and Saravanamuttu (peny), 2002a. 1999.
Loh Kok Wah, Francis. “Politik Baru Di Malaysia”. Siri Syarahan Umum Pelantikan Profesor 2000. Penerbit Universiti Sains Malayisa, Pulau Pinang (2005: 1-4)
Loh Kok Wah, Francis. "Where Has (Ethnic) Politic Gone?: The Case of the BN, Non- Malay Politicians and Political Parties." In The Politics of Multiculturalism, by Robert Hefner (peny), (183-203). Honolulu: University Of Hawai'i, 2001a.
Milue, R.S. & Mauzy, D.K. Politics and government in Malaysia. Vancouver: University of British Columbia Press, 1980.
Noraini Othman, Abdul Rahman Embong dan Rustam A. Sani. Pembangunan sosial dan pembentukan budaya kemodenan di kalangan golongan kelas menengah moden di Malaysia. Laporan akhir Prijek IRPA No. Kod 5-07-03-028 diserahkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar malaysia. 1996.
Saravanamuttu, Johan. "Kelas menengah dalam politik Malaysia: Tonjolan perkauman atau kepentingan Kelas?" Kajian Malaysia VII (1&2), (1989: 106-126)
Saravanan, Johan. "The State, Ethnicity and the Middle-Class Factor: Addressing Nonviolent, Democratic Change in Malaysia." In Internal Conflict and Governance, by Kumar Rupesinghe (peny), 44-64. London: MacMillan, 1992.
Syed Ahmad Hussen “Pengantar Sains Politik”. Penerbit Bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Pusat Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (1996: 38-43)

 Nota Kaki:
[1] Sebenarnya amalan konsosiasional berjalan dengan lebih jelas di dalam peringkat pra- 13 Mei 1969. Selepas peristiwa itu dan pembentukan MAGERAN kuasa mula tertumpu di pusat. Setelah darurat dihapuskan dan BN tidak menjadi ahli yang bebas menuntut lagi. Mereka rata-rata lebih tertakluk kepada keputusan UMNO dan Perdana Menteri khususnya.

[2] Lihat juga pada syarahan umum pelantikan Profesor Francis Loh Kok Wah: “Politik Baru Di Malaysia”. Penerbit Universiti Sains Malaysia (2002: 1-4)

[3] Dikenali sebagai sikap sudi berkorban dan kepentingan orang lain lebih diutamakan tanpa mengira kepentingan diri sendir. Sifat ini juga boleh diletakkan sebagai sikap negarawan yang perlu ada kepada setiap pemimpin untuk mewujudkan kestabilan politik, ekonomi dan sosial.

[4] Karl Marx and Friedrich Engels, “The German Ideology” (New York, International Publishers, 1930: 48-49)

[5] Sebenarnya terdapat beberapa persetujuan asas diterima oleh anggita gabungan untuk mengukuhkan hubungan kesepakatan. Antaranya setiap anggota dikehendaki merahsiakan perkara tertentu yang perlu, tidak mempolitikkan isu tertentu dan bersetuju untuk tidak bersetuju di dalam beberapa perkara tertentu ( Lijphart 1969:122-138). Dengan persetujuan ini, beberapa perkara yang diandai boleh mengancam kedudukan gabungan dapat dielak.

[6] Syed Ahmad Hussen. “Pengantar Sains Politik”( Penerbitan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Sains Malaysia 1996: 38-43)

[7] Lihat lanjut pada Robert A.Dahl “On Democracy” (Yale University Press 1998: 25-35)

[8] Petikan kata-kata Abraham Lincoln Presiden Amerika Syarikat (1809-1865)

No comments:

Post a Comment